Foto oleh: LIA MURNI MISBUN
KEMENTERIAN Belia dan Sukan Malaysia dan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perlis dengan kerjasama Kelab Badminton Nusa Mahsuri serta Institut Sukan Negara telah mengadakan Program Kem Bakat Badminton selama tiga hari yang berakhir kelmarin.
Program yang dimulai seawal pagi dengan aktiviti senam cergas itu telah disertai seramai 61 bakat-bakat baru yang terpilih dari seluruh negeri Perlis.
Objektif kem antara lain bertujuan mendidik bakat baru berusia 9-12 tahun dengan sistem permainan yang betul selain mengenal pasti potensi mereka untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.
Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Perlis, Tuan Haji Abd Haris Ishak yang menyempurnakan perasmian penutup kem tersebut menggesa para peserta yang mengambil bahagian akan menggunakan kesempatan untuk mempertingkatkan prestasi masing-masing selepas menerima sentuhan dan bimbingan daripada lagenda badminton negara yang juga Ketua Jurulatih Program, Datuk Misbun Dato' Sidek.
"Saya amat berharap apa yang dipelajari sepanjang tempoh kem ini berlangsung akan menambah lagi semangat dan ketekunan para peserta untuk pergi lebih jauh lagi dan tidak hanya sekadar hangat-hangat tahi ayam sahaja. Bagi pihak jabatan, kami bersedia untuk memberi kerjasama terhadap sebarang aktiviti pembangunan sukan badminton pada masa depan supaya ia terus mekar di arena badminton negara.," ujar Haris dalam ucapan perasmian itu.
Turut hadir di majlis penutup tersebut ialah Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Sukan KBS, Puan Fazulia Zulkifli, Penolong Pengarah Bahagian Sukan JBS Perlis, Puan Siti Hasmah Hassan dan Penasihat Nusa Mahsuri, Tuan Haji Mohd Jalani Dato' Sidek.
Untuk melihat lebih banyak foto-foto kem di negeri ini, sila klik disini