SETELAH berjaya mendekatkan kaedah latihan sistematik di peringkat akar umbi, Program Kem Bakat Badminton anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan kerjasama Kelab Badminton Nusa Mahsuri (NMBC) akan kembali memulakan penjelajahan sesi mencungkil bakat-bakat baru di beberapa lokasi seluruh negara tidak lama lagi.
Bagi meneruskan usaha dan kandungan program yang berkualiti, beberapa perubahan akan diperkenalkan pada tahun 2012 bagi memastikan program terus segar dan mampu memberi impak besar selari dengan kekuatan badminton sebagai sukan disegani yang meniti di bibir peminat tempatan.
Antara penambahbaikan program pada kali ini ialah pihak KBS secara dasarnya mahu program Klinik Kejurulatihan Asas Badminton diadakan bertujuan memberi pendedahan secara teori dan praktikal kepada bakal-bakal jurulatih dan mereka yang berminat untuk menceburi bidang kejurulatihan.
Ianya juga dapat membantu menyemarakkan lagi usaha melatih bakat-bakat baru di peringkat akar umbi yang selama ini mungkin sedikit ketinggalan menerima latihan permainan badminton yang betul.
Untuk mengetahui lebih lanjut berhubung Program Kem Bakat Badminton dan Klinik Kejurulatihan Asas Badminton 2012, sila hubungi Penyelaras Program, Puan Fazulia Zulkifli di talian 03-88713243.