Foto oleh:
LIA MURNI MISBUN
Kehadiran dan aksi permainan mantap dipamerkan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Malaysia, YBhg Dato' Lokman Hakim Ali dalam satu perlawanan VVIP ternyata memukau perhatian ramai dan menjadi kemuncak Program Kem Bakat Badminton KBS Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang berakhir di Dewan Serbaguna INTAN Bukit Kiara semalam.
Beliau yang berpasangan dengan bekas pemain skuad Piala Thomas 1992, Haji Rahman Dato' Sidek menentang gandingan Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Pembangunan Sukan KBS, Tuan Mohd Azhari Mohammad/ Lagenda badminton negara, Datuk (Dr) Misbun Dato' Sidek.
Terdahulu dari itu, Dato' Lokman Hakim dalam ucapannya ketika merasmikan program penutup kem tersebut berkata, pihak KBS sentiasa menekankan aspek pembangunan bakat muda di peringkat akar umbi untuk memastikan suatu hari nanti negara kita dikenali sebagai negara aktif bersukan dan mempunyai rakyat yang sihat dan produktif.
"Selain penekanan ini, kita juga mahu mengenalpasti individu-individu berbakat bagi mewakili negara menerusi bidang sukan selain memupuk nilai-nilai perpaduan antara kaum sepertimana yang kita lihat pada Sukan Olimpik Rio.
Mengenai Program Kem Bakat Badminton KBS, beliau menyambut baik objektif program tersebut yang bertujuan mahu melahirkan lebih ramai bakat-bakat berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.
"Saya amat berharap bakat-bakat baru yang menyertai program ini dapat memahami dan mempraktikkan teknik-teknik asas permainan badminton supaya mereka dapat memajukan diri dalam sukan badminton dan seterusnya melangkah ke peringkat lebih tinggi lagi.
Seramai 57 peserta yang terdiri daripada bakat-bakat muda berusia 9-12 tahun telah mengambil bahagian pada program selama tiga hari dan dua malam itu.
"Ada satu pepatah berkata bahawa orang yang terbaik itu adalah orang yang mempunyai ilmu. Jadi, saya mahu bakat-bakat muda ini menerima sebanyak mungkin ilmu yang bermanfaat dan diamalkan dalam usaha mempertingkatkan prestasi ke tahap lebih baik lagi.
Sambil itu, Dato' Lokman Hakim menambah, para peserta yang berjaya dalam pertandingan kem bakat badminton KBS di peringkat negeri berpeluang menyertai pertandingan di peringkat kebangsaan.
Turut hadir pada majlis penutup ialah Pengarah Cawangan Penggalakan dan Pembangunan Sukan, Jabatan Belia dan Sukan Negara, KBS, Encik Syamsul Tahrin Mohd Tahir dan Presiden Kelab Badminton Nusa Mahsuri, Dato' Seri Mohd Jalani Dato' Sidek.